ASSALAMUALAIKUM…SALAM SEJAHTERA, SALAM 1 MALAYSIA ….SELAMAT MELAYARI PORTAL RASMI SMK. SULTAN MUHAMMAD SHAH, PARIT, PERAK. SEMOGA ANDA MEMPEROLEH MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN…TERIMA KASIH
LAMAN WEB INI DALAM PROSES
PENAMBAHBAIKAN
HARAP MAKLUM !

Guru kerja 9 jam tak diteruskan

LABUAN 19 Nov. - Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari pada Januari ini di empat negeri, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, langkah itu bertujuan mengelak salah sangka dan kekeliruan di kalangan masyarakat dan guru sendiri terhadap pelaksanaan program tersebut.

Katanya, kementerian berasakan program tersebut tidak perlu diteruskan, tetapi segala kajian yang telah dibuat akan dilakukan penelitian secara lebih mendalam.

“Program itu juga tidak perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar program tersebut yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan singkat ke Labuan dan menyerahkan kunci rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Sungai Labu di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusof Mahal.

Muhyiddin berkata, projek perintis itu sebenarnya tidak bertujuan membebankan guru-guru, sebaliknya ia merupakan proses menambah baik bidang pendidikan.

“Profesion guru amat istimewa kerana mereka mendidik anak bangsa. Program ini akan memantapkan lagi perkhidmatan perguruan selain memberi impak lebih besar kepada bidang pendidikan negara,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, projek perintis yang dimulakan di Melaka Tengah dan melibatkan 19 buah sekolah diteruskan seperti biasa.--Utusan