ASSALAMUALAIKUM…SALAM SEJAHTERA, SALAM 1 MALAYSIA ….SELAMAT MELAYARI PORTAL RASMI SMK. SULTAN MUHAMMAD SHAH, PARIT, PERAK. SEMOGA ANDA MEMPEROLEH MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN…TERIMA KASIH
LAMAN WEB INI DALAM PROSES
PENAMBAHBAIKAN
HARAP MAKLUM !

Semarakkan Semangat Maal Hijrah



TARIKH 1 Muharam bukanlah sekadar tahun baru yang diraikan kerana bergantinya tahun dari 1431 ke 1432 tetapi implikasi yang lebih penting adalah satu pertukaran dan pembaharuan dalam usaha menjadikan yang buruk kepada yang baik, yang baik kepada yang lebih baik dan seterusnya ke tahap cemerlang dan terbilang.

Lebih penting lagi, Maal Hijrah ini mempunyai pengertian yang cukup mendalam apabila penghayatan atas peristiwa dalam sejarah Islam dengan penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Selaras dengan itu, dalam sebuah masyarakat majmuk yang agama Islam adalah agama rasmi, Maal Hijrah membawa satu implikasi penting saban tahun kerana diraikan dalam satu suasana harmoni, aman dan sejahtera sebagaimana temanya tahun ini iaitu ‘1Malaysia 1Ummah’. Sesungguhnya, peristiwa penghijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya mengajar kita supaya bersedia menghadapi sebarang cabaran atau kemungkinan, selain terus berusaha supaya kemungkinan sesuatu peristiwa buruk tidak akan berlaku.

Sebelum Hijrah, Rasulullah SAW telah merapatkan perhubungan dengan pembesar-pembesar Madinah dan sudah terdapat perjanjian dan sumpah setia orang Madinah kepada Baginda. Apabila di Madinah, penganut Islam telah menghadapi beberapa percubaan daripada kaum Jahiliah untuk menawan Madinah. Semua dugaan ini telah dapat diatasi oleh Rasulullah dan pengikut-pengikutnya, apabila mereka bersedia untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan buruk dan tentangan-tentangan seperti itu.

Justeru, marilah kita sama-sama mengambil aspirasi semangat Rasulullah dan para sahabatnya sepertimana yang kita sedia maklum bahawa Hijrah ini ertinya berpindah, maka kita umat Islam hendaklah berpindah atau mengubah sikap yang kurang baik dan tidak menguntungkan kepada sikap yang lebih berfaedah, walaupun terpaksa berhadapan dengan berbagai cabaran.
Nasib umat Islam tidak akan berubah jika kita sendiri tidak mahu mengubahkannya. Sikap manja, kurang berusaha, mengharap belas kasihan orang adalah sifat-sifat hina yang tidak disukai oleh Islam dan bertentangan dengan semangat Hijrah ini.

Dalam negara kita, Awal Muharam juga membawa pengertian cuti awam yang dirasai oleh keseluruhan masyarakat tidak kira agama, bangsa dan buaya. Hal ini secara tidak langsung menyemarakkan pemahaman masyarakat termasuk yang bukan beragama Islam terhadap takwim dan sejarah Islam.

Oleh itu, sabagai rakyat yang bertanggungjawab dan masyarakat yang tahu menghargai, tentunya definasi lebih mendalam dapat dihayati dengan keazaman yang tinggi untuk terus memperteguh agama tanpa melupakan nilai bangsa dan tradisi kepimpinan dalam Negara.

::: Salam Maal Hijrah 1432 :::