ASSALAMUALAIKUM…SALAM SEJAHTERA, SALAM 1 MALAYSIA ….SELAMAT MELAYARI PORTAL SMK. SULTAN MUHAMMAD SHAH, PARIT, PERAK. SEMOGA ANDA MEMPEROLEH MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN…TERIMA KASIH
LAMAN WEB INI DALAM PROSES
PENAMBAHBAIKAN
HARAP MAKLUM !

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2011


Alhamdulillah, dengan rasa penuh kesyukuran, kita sekali lagi diberi peluang untuk melangkah kaki ke tahun baru 2011. Sebelum ini kita menyambut tahun baru hijrah 1432 Kemudiannya kita menyusuri pula tahun baru Masihi. Sama ada kita sedar atau tidak, kedatangan kedua-dua tahun baru tersebut, sebenarnya menandakan usia kita semakin meningkat.

Telah menjadi satu tradisi, apabila datangnya tahun baru, kita menyambutnya dengan semangat yang baru, azam baru dan diari baru. Sebenarnya dalam Islam tidak ada istilah tahun baru atau tahun lama! kerana kita sentiasa dituntut untuk patuh dan taat kepada perintah Allah pada setiap masa, dari awal tahun hingga akhir tahun, dari umur baligh hingga ke liang lahad.

Namun, tidak menjadi kesalahan apabila tradisi dan budaya menyambut tahun baru ini kita selarikan dengan kehendak dan tuntutan syarak. Justeru, kita perlu mengutamakan kebaikan, menjauhi kejahatan, bersifat amanah, bertanggungjawab, berdisiplin, jujur dalam setiap gerak kerja.

Pada masa yang sama juga, sebagai umat Islam kita perlu sentiasa bermuhasabah diri pada setiap masa dengan menepati sasaran yang dituntut oleh ajaran Islam supaya kita menjadi hamba yang taat? Kerana inilah asas utama yang perlu dibebankan dalam mencari tujuan hidup yang sebenar iaitu semata-mata untuk beribadat kepada Allah, bukan untuk mencari keseronokan duniawi semata-mata.

Setahun yang berlalu sudah pasti melakarkan catatan-catatan penting yang boleh dijadikan pengajaran dan iktibar. Jikalau pada tahun 2010, banyak kepincangan yang telah berlaku dalam kehidupan kita sama ada secara disengajakan atau tidak, maka pada tahun 2011 kita berazam untuk tidak mengulangi lagi kepincangan yang sama.

Jikalau pada tahun 2010 kita telah menempa beberapa kejayaan dan kecemerlangan, maka pada tahun 2011 biarlah kita mencipta kejayaan yang lebih baik daripada tahun 2010 kerana seorang muslim akan sentiasa mengarahkan diri mereka ke arah yang lebih baik, sebagaimana kata Saidina Umar “Celakalah bagi orang muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esok lebih buruk dari hari ini”.

Satu perkara yang menjadi lumrah, apabila datangnya tahun baru, maka sering dikaitkan dengan soalan: Apakah azam dan cita-cita tahun baru? Apabila ditanya mengenai azam, masing-masing akan menyatakan azam dan cita-cita yang pelbagai nada dan bunyinya.

Tidak salah untuk menanam azam! Tetapi seimbang dalam usaha mencari kecemerlangan dunia dan akhirat. Selain itu, usaha yang bersungguh-sungguh pula disusuli supaya cita-cita dan azam tersebut menjadi realiti bukannya sekadar azam kosong.

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian serius oleh kita semua ialah pengisian sambutan tahun baru. Kita berasa amat bimbang dan pada masa yang sama berasa amat sedih apabila sambutan tahun baru sering dicemari dengan upacara sambutan dipenuhi dengan unsur-unsur maksiat yang jelas menyalahi hukum Islam dan menyimpang daripada adat dan budaya orang Melayu.

Sepatutnya tahun baru disambut dengan penuh rasa kesyukuran dengan berdoa atau menganjurkan majlis-majlis ilmu yang boleh membina dan merangsang minda, bukannya melakukan perkara yang boleh mengundang kemaksiatan

Adalah diharapkan juga moga tahun baru ini akan menjadi tahun kegembiraan, bukannya tahun yang mendukacitakan sebagaimana yang mungkin berlaku pada tahun-tahun lepas. Dalam mengimpikan hasrat ini, usaha dan tekad perlu berjalan selari, kerana kejayaan tidak akan datang bergolek. Begitu juga dengan kebaikan, tanpa azam dan pegangan kukuh pada nilai murni, perkara tersebut tidak akan dapat dicapai. Akhir sekali..SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2011.