ASSALAMUALAIKUM…SALAM SEJAHTERA, SALAM 1 MALAYSIA ….SELAMAT MELAYARI PORTAL SMK. SULTAN MUHAMMAD SHAH, PARIT, PERAK. SEMOGA ANDA MEMPEROLEH MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN…TERIMA KASIH
LAMAN WEB INI DALAM PROSES
PENAMBAHBAIKAN
HARAP MAKLUM !

Mata Pelajaran Sejarah wajib lulus


Kementerian Pelajaran yakin pelaksanaan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 tidak akan berdepan sebarang masalah.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, ini kerana mata pelajaran Sejarah bukanlah satu subjek baru malah telah menjadi subjek teras sejak beberapa tahun lalu.

"Sejarah merupakan mata pelajaran teras sejak bertahun-tahun lalu dan kita tidak menjangkakan banyak masalah seperti kekurangan guru berkelayakan untuk mengajar subjek berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pesta Buku Popular anjuran Popular Book Co. (M) Sdn. Bhd. di Expo Danga City Mall.

Sehubungan itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan menggesa kementerian agar memastikan guru-guru Sejarah dilatih terlebih dahulu sebelum memulakan pelaksanaan dasar baru itu.

Hashim memberitahu, ini kerana terdapat sekolah yang mengalami masalah kekurangan guru Sejarah di samping terdapat guru yang tidak mahir dalam subjek berkenaan.

Ka Siong berkata, kementerian sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran itu termasuk kemungkinan memperkenalkan teknik pengajaran baru.

"Ada juga beberapa teknik yang boleh digunakan untuk menjadikan proses pembelajaran Sejarah sesuatu yang menyeronokkan kepada pelajar," katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 hingga RM3 bilion setahun sejak lima tahun lalu bagi pendidikan golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, bantuan tersebut diberikan dalam bentuk biasiswa Persekutuan, rancangan makanan tambahan, bantuan buku teks percuma dan lain-lain. Utusan